SEBAGAI pengundi senyap, kami mengibaratkan keputusan pilihan raya kali ini seperti telatah Pak Kadok, ‘menang sorak, kampung tergadai’ dan yang paling rugi ialah rakyat. Golongan pengundi senyap sentiasa berdiri teguh di belakang parti yang mengutamakan perpaduan kerana bagi kami, perpaduan saja dapat merealisasikan kesejahteraan hidup rakyat pelbagai kaum.
Pengundi senyap sentiasa cintakan negara. Kami sentiasa melihat, meneliti dan mengkaji setiap isu dari sudut berbeza demi kebaikan negara tercinta. Misalnya, kami tidak perlukan sebuah negara kebajikan kerana kami takut rakyat menjadi malas dan hanya tahu meminta.
Kami tidak mahu tol dilupuskan kerana kami mahu jalan raya yang lebih baik dan selamat kerana adanya penyelenggaraan lebih baik.
Kami tidak mahu yuran persekolahan dan institusi pengajian tinggi secara percuma kerana pinjaman sudah memadai sebab kami takut ibu bapa tidak tahu menabung dan menjadi lebih tidak bertanggungjawab. Kami juga tidak mahu saman dan kompaun dilupuskan kerana kami takut kerajaan akan menjadi pendorong dan penggalak kepada pesalah dan penjenayah mengingkari undang-undang negara.
Itulah kami sebenarnya. Apa pun, yang ada di hati kami hanya untuk kepentingan negara. Kami undi untuk negara bukan untuk parti atau kepentingan individu atau rasa simpati. Kami berjiwa kental dalam hal kepentingan negara. Kami sanggup berbuat apa saja demi kedaulatan negara.
Kami sayangkan tanah air ini dan kami benci isu perkauman yang dimainkan sesetengah parti. Bagi kami, mereka pembelot kepada bangsa dan negara. Mereka berpolitik demi kepentingan peribadi, tamak dan penuh dendam.
Mereka tidak dapat memberi apa-apa kebaikan kepada rakyat pelbagai kaum. Suara dan luahan rakyat, kehendak dan impian rakyat hanya akan berkubur bersama dendam dan rasa marah. Apa yang rakyat akan dapat hanyalah permusuhan semata-mata. Kerajaan sebegini tidak akan dapat bertahan lama dan yang rugi dan teraniaya adalah rakyat.
Kami cintakan tanah air ini kerana itu kami amat menghargai, menghormati jasa dan pengorbanan anggota keselamatan, terutama polis. Daripada kami jutaan terima kasih kami ucapkan kepada semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Namun, pada awal pemerintahan Pak Lah, polis sentiasa dikritik, kadang-kadang dihentam pelbagai pihak, sama ada kerajaan, ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO), rakyat malah penjenayah, menyebabkan banyak campur tangan dalam urusan PDRM.
Pelbagai unsur luar mula mencampuri urusan pentadbiran PDRM. Di sinilah kami mula cuak dan marah kepada kerajaan. Kami tidak suka polis diperlekeh kerana polis penegak undang-undang negara. Ada pihak cuba mencampuri urusan polis dengan menubuhkan badan pemantau PDRM.
Kami mahu polis diberi kuasa penuh untuk menjalankan tugas. Atas sebab ini jugalah kami pengundi senyap agak sukar memilih undi yang tepat pada pilihan raya kali ini. Kami berharap dengan tertubuhnya kerajaan baru, Pak Lah lebih memberi perhatian pada isu campur tangan pentadbiran PDRM.
Kami mahu PDRM berdiri teguh tanpa ada campur tangan mana-mana pihak dalam mentadbir urus organisasi ini seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Satu lagi persoalan yang bermain di fikiran kami ialah mengenai isu Kemajuan Masyarakat (Kemas). Setiap kali sesebuah negeri diambil alih Pas, pintu pagar pertama akan dikunci ialah tadika Kemas.
Kemas adalah badan kebajikan khas untuk orang Melayu saja bagi membantu dari awal kanak-kanak hingga ke kelas dewasa bagi menghapuskan buta huruf.
Kini, pelbagai bantuan disalurkan melalui badan ini demi kemajuan dan ekonomi orang Melayu. Pembelajaran, kemahiran, keagamaan, kewangan, modal insan adalah bantuan yang diberikan Kemas kepada orang Melayu sejak dulu lagi.
Jadi apa rasionalnya Kemas ditindas? Rakyat dan ibu bapa berhak mempertahankan pendidikan anak mereka. Sebagai parti Islam, mereka patut mengunci pintu kedai arak, pusat hiburan, kelab maksiat dan semua unsur yang boleh menjurus ke arah keruntuhan akhlak.
Kami sebagai pengundi senyap berharap Pas dapat menjawab persoalan ini dengan telus kerana mereka sentiasa bercakap mengenai ketelusan. Jika mereka berdolak dalik mengenai isu ini, bermakna mereka bersekongkol untuk menjatuhkan orang Melayu di bumi sendiri.
Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang komited terhadap rakyat dan negara.
Hanya kadang-kadang jika terlalu memberi, terlebih bermanja, terlalu keterbukaan membuatkan rakyat tidak tahu bersyukur dan berterima kasih.
PENGUNDI SENYAP,
Keramat, Kuala Lumpur.
Apa pun, semua adalah pilihan rakyat. Yang lama ditolak kerana kurang baik, yang baru dipilih belum tentu baik. Yang pasti, bibit perkauman mula tumbuh di hati rakyat. Itulah harga yang paling mahal yang perlu dibayar untuk nilai 30 sen petrol yang mahu diturunkan. Itu pun hanyalah janji yang belum pasti menjadi kenyataan.
PENGUNDI SENYAP,
Keramat, Kuala Lumpur.
0 ulasan:
Catat Ulasan