SAYA harap saudara tidak keberatan berkongsi pandangan saya dengan para pembaca, berkenaan kemenangan Pas di Kelantan.
Barisan Nasional (BN) terperanjat terduduk apabila Pas menang besar di Kelantan, perlulah kita faham satu sebab orang Kelantan menolak BN.
Rakyat Malaysia yang tinggal di luar dari Kelantan biasa mengatakan yang orang Kelantan adalah cherish, dan saya kata mereka juga “patriotik” Kelantan.
Saya telah memahami cara pemikiran orang Kelantan, “biar berniaga kecil-kecil hak kita, buat apa besar bukan hak kita”. Itulah sebabnya rakyat di Kelantan bersyukur di bawah pemerintahan Pas. Segala perniagaan kecil dan besar adalah hak anak Kelantan.
Saya pernah bertugas di Kelantan selaku panglima briged pada tahun 1977 dan 1978. Ramai anggota askar wataniah yang dikerah penuh masa, bertugas di bawah arahan saya. Saya mengenali orang Kelantan melalui askar saya, kerana saya selalu rapat dengan mereka.
Apabila Lebuh Raya Timur - Barat dibina dari Gerik ke Jeli, orang Kelantan tidak senang hati kerana bimbang peniaga dari Perak dan Pulau Pinang akan masuk dengan senang ke Kelantan.
Saya menasihati anggota wataniah untuk memaklumkan kepada orang Kelantan yang lebuh raya ini sangat diperlukan bagi menjaga keselamatan.
Jalan ini adalah dalam kawasan hitam dan tidak boleh digunakan sesuka hati. Saya boleh menutup jalan ini apabila perlu. Ini memberi kesenangan kepada fikiran orang Kelantan daripada pelbagai kaum.
Penduduk Kelantan teramai sekali adalah dalam jajahan Kota Bharu, satu pertiga penduduk didapati dalam jajahan-jajahan lain.
Dalam ceramah pilihan raya tahun 1978, selepas pengisytiharan darurat dan pemerintahan pusat atas Kelantan ditarik balik pada 12 Februari 1978, Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Kewangan telah membuat satu perjanjian dengan pengundi yang memikat hati mereka. Sekiranya BN menang, tol jambatan Kota Bharu akan dimansuhkan.
Jambatan tersebut dibina oleh kerajaan Pas dengan wang pinjaman.
Pada malam kiraan undi lebih kurang pukul tiga pagi, BN telah menang 19 daripada 36 kerusi. Pada saat pengumuman tersebut penduduk Kota Bharu tidak lagi mahu membayar tol.
Maka, tamatlah pembayaran tol jambatan berkenaan pada waktu itu.
Inilah yang memberi keuntungan terus kepada pengundi dan kemenangan BN sebanyak 23 kerusi.
Sayangnya kerajaan BN Kelantan memberi keutamaan menaik taraf bandar Kota Bharu.
Pengundi di jajahan lain tidak merasai apa-apa keuntungan dari pembangunan.
Dalam pilihan raya seterusnya tidak ada “faedah direct benefit” kepada pengundi yang dijanjikan oleh BN.
Dalam fikiran pengundi di Kelantan, jika BN hendak memajukan Kelantan secara besar-besaran pasti ramai orang luar akan masuk Kelantan. Inilah yang tidak direlakan oleh rakyat Kelantan.
Di bawah pemerintahan Pas tidak ada perniagaan luar akan masuk Kelantan dan ini akan menjaminkan kepentingan peniaga kecil dan besar di negeri itu.
Pendapat saya jika hendak memikat hati dan mengubah mindset pengundi di Kelantan, bantulah peniaga kecil membesar sehingga menjadi “yang besar juga hak kita”.
Ini adalah pandangan persendirian dan bukan penganalisis politik, saya bukan ahli parti politik.
– LT. JEN. (B) DATUK ABDULLAH SAMSUDIN.
0 ulasan:
Catat Ulasan